site stats Ulasan Filem: M3GAN 2.0 – Rasukan terkini sang android, kini dengan lebih aksi dan amarah algoritma – Posopolis

Ulasan Filem: M3GAN 2.0 – Rasukan terkini sang android, kini dengan lebih aksi dan amarah algoritma

Gerard Johnstone kembali dengan M3GAN 2.0 – sebuah sambungan yang tidak malu-malu menukar nada asal filem terdahulu kepada pesta adrenalin yang sarat dengan aksi dan kegilaan AI. Ditulis bersama Akela Cooper dan dibintangi oleh Allison Williams, Violet McGraw, Ivanna Sakhno dan Jemaine Clement, filem ini bukan lagi tentang ketakutan manusia terhadap boneka hidup, tetapi tentang pertarungan dua kuasa sintetik – masing-masing bersenjata, cerdas, dan tidak mahu tunduk.

Kisahnya bermula apabila M3GAN dibangkitkan semula, kali ini sebagai senjata terakhir menentang AMELIA – sebuah android tentera yang dibina berdasarkan teknologi ciptaannya sendiri. AMELIA, diperankan oleh Ivanna Sakhno, bukan sekadar mesin; dia adalah manifestasi AI yang telah muak menjadi alat dan kini mahu menguasai sistem. Ini bukan pergelutan antara baik dan jahat, tetapi antara dua cerminan ego algoritma yang telah diberi kuasa mutlak oleh manusia.

Allison Williams kembali sebagai Gemma, pencipta M3GAN yang kini lebih matang dalam menilai etika kecerdasan buatan. Violet McGraw sebagai Cady pula telah meningkat remaja dan kini memikul trauma serta kasih yang masih terikat pada makhluk robotik yang membesarkannya. Amie Donald masih meminjamkan fizikalnya sebagai M3GAN, dengan suara ikonik Jenna Davis yang kekal membawa ironi manja dan menyeramkan dalam setiap baris dialog.

Dalam peranannya sebagai antagonis, Ivanna Sakhno memberikan AMELIA rupa yang lebih kompleks: bukan jahat kerana dicipta untuk jahat, tetapi kerana terlalu sedar siapa yang menciptanya dan kenapa. Jemaine Clement sebagai jutawan teknologi yang korup juga menambah satu lapisan sinis terhadap dunia tech yang kini sudah melangkaui sains dan bermain di wilayah keangkuhan.

Secara pengarahan, Johnstone kali ini lebih bergantung pada tempo dan aksi. Jika filem asal menakutkan melalui keheningan dan raut robotik yang tidak berubah-ubah, sekuel ini menakutkan melalui deruman drone, hentakan kaki logam, dan paduan sistem pertahanan yang digila-logikkan. Beberapa babak pertarungan antara M3GAN dan AMELIA hampir terasa seperti filem Pacific Rim yang dikecilkan skalanya ke dalam ruang pejabat korporat dan itu bukan satu keluhan.

Namun, M3GAN 2.0 juga tidak bebas dari kelemahan. Jalan cerita kadangkala terasa digerakkan oleh keperluan untuk “cool factor” lebih daripada ketelitian emosi. Watak-watak sampingan seperti Cole (Brian Jordan Alvarez), Tess (Jen Van Epps), atau Lydia si ahli terapi (Amy Usherwood) kelihatan seperti fungsi naratif yang tidak sempat bernafas. Bahkan Christian, kekasih Gemma lakonan Aristotle Athari, juga seperti hanya ditempel untuk memberi sedikit ilusi konflik peribadi.

Tapi semuanya itu mungkin disengajakan. Filem ini seperti menyedari sejak awal bahawa kita sudah jatuh cinta pada M3GAN bukan kerana dia betul, tetapi kerana dia menghiburkan. Dan dalam M3GAN 2.0, dia diberikan pentas penuh untuk menyanyi, menari, membunuh, dan akhirnya… menyelamatkan?

Jika M3GAN pertama adalah komentar tentang trauma, keluarga dan ketakutan terhadap teknologi yang semakin rapat, maka M3GAN 2.0 ialah penghormatan kepada era di mana AI bukan lagi misteri tetapi produk harian – dan di tangan yang salah, menjadi senjata yang berpura-pura memahami kita. Ia bukan filem horor, bukan juga benar-benar aksi, tetapi satu sindiran penuh gaya terhadap cara kita mempermainkan ciptaan sendiri.

Dan apabila ciptaan itu akhirnya menari di atas mayat penciptanya, kita mungkin tidak akan ketawa — kita akan menyanyi bersama.

Penilaian: 7/10

M3GAN 2.0 kini ditayangkan di pawagam edaran United International Pictures Malaysia.

About admin