Joey Daud tidak asing lagi dalam dunia seni tanah air. Beliau merupakan artis rakaman pertama yang diperkenalkan oleh Luncai Emas, syarikat milik maestro muzik, M. Nasir. Album sulungnya, Beradu Suratan, terbitan M. Nasir pada tahun 1994, menjadi pelantar awal kerjaya nyanyiannya. Dua tahun kemudian, Joey tampil dengan album kedua berjudul Joey, memperkukuh kedudukannya dalam arena muzik.

Namun, perjalanan seni Joey lebih menyerlah dalam bidang lakonan. Namanya terpahat dalam ingatan penonton menerusi karya-karya Allahyarham Mamat Khalid, terutamanya watak Manap dalam filem Manap Karaoke dan watak Daud M dalam siri filem 18 Puasa di Kampong Pisang. Watak Daud M, dengan ungkapan ikonik “wamwamsam”, terus berkembang dalam filem seperti Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa dan Kampong Pisang Berbuah Dua Kali.
Kini, Joey kembali ke pangkuan Luncai Emas dengan lagu terbaharu berjudul Wamwamsam, yang menampilkan dirinya sebagai Daud M. Lagu ini merupakan hasil penulisan bersama Joey, Ilham Nasir, Hidayat Nasir dan Rahman Sahard’din, serta menampilkan kolaborasi istimewa bersama Ritz Metalasia dan A.D daripada kumpulan hiphop Isohbatos.

Menariknya, lagu Wamwamsam menonjolkan pelat “M” yang menjadi ciri khas watak Daud M. Pelat ini bukan sekadar gaya sebutan, malah menjadi alat penyampaian mesej motivasi yang menyentuh soal ketabahan menghadapi cabaran hidup. Dengan semangat “wamwamsam”, lagu ini mengajak pendengar untuk terus yakin dan bersemangat walaupun berdepan onak duri kehidupan. Liriknya yang ringkas, sarat humor dan slanga kreatif seperti “jadim tak jadim” dan “macam spender basam” menjadikannya mudah diingati dan tular di media sosial.

Lagu ini turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) filem Daud M Origin yang diarahkan oleh Amen Khalid, yang juga mengarahkan video muziknya. Video muzik Wamwamsam bakal dilancarkan secara rasmi pada jam 9 malam ini di saluran YouTube rasmi Luncai Emas.
Tonton video muzik Wamwamsam: