Ben Affleck kembali sebagai kerani autistik yang boleh membunuh anda dengan pistol atau kalkulator, dan tiada siapa pun di Hollywood yang mampu membuatkan angka kelihatan begitu menakutkan kecuali dia. Filem ini, sekuel kepada naskhah 2016 yang agak unik itu, tidak cuba menjadi lebih besar atau lebih berani. Ia menjadi lebih pelik. Dan mungkin itu kekuatannya.
Saya sering terfikir – dalam dunia filem aksi pasca-Bond dan pasca-Bourne – apa lagi yang tinggal selain badan-badan beruniform, bunyi senjata automatik, dan dendam sebagai penggerak naratif utama? The Accountant 2 bukan jawapan kepada keletihan genre ini, tetapi ia memberi satu bayangan pelik tentang apa yang mungkin terjadi jika Stanley Kubrick jatuh cinta dengan matematik dan drama kekeluargaan.
Pengarah Gavin O’Connor seolah-olah memahami bahawa kita sudah letih dengan hero yang tahu segalanya. Maka dia berikan kita Christian Wolff, lelaki autistik yang boleh mengira kematian anda lebih pantas daripada komputer IRS, tetapi masih kaku bila diminta senyum. Sekali lagi, Ben Affleck bermain dalam zon keselesaan ekspresi wajah batu granitnya – dan di sinilah dia cemerlang. Affleck, seperti patung Abraham Lincoln yang bangun dari tempat duduk, menembak orang sambil menyelesaikan akaun audit jenayah.

Plotnya? Seorang bekas pengarah FinCEN ditembak mati selepas menyerahkan sekeping foto lama kepada pembunuh profesional bernama Anaïs, lakonan Daniella Pineda yang lebih karismatik daripada kebanyakan watak utama. Satu perkataan tertulis pada tubuhnya: “Find the accountant.” Seolah-olah seorang kerani diperlukan untuk menyelamatkan dunia – bukan dengan peluru, tapi dengan fakta.
Watak Marybeth Medina kembali, kali ini bukan sekadar pembantu. Dia pembawa obor dalam dunia di mana moral kabur dan fakta disembunyikan di bawah kira-kira untung rugi. Dia tahu Wolff bukan lelaki baik, tapi dia tahu lelaki baik tak mampu selesaikan kekusutan dunia ini.
Jon Bernthal sebagai adik Christian, Braxton, memberi lapisan emosi yang tak dijangka – keras di luar, tetapi penuh ironi dan kasih sayang jantan yang tak pernah disebut. Dinamika dua beradik ini – berkongsi trauma, kekasaran, dan katil – adalah perkara paling menyentuh dalam keseluruhan filem, bahkan lebih menyentuh dari semua darah yang tertumpah.

Apa yang saya sukai, atau benci dalam cara yang saya hargai, ialah bagaimana filem ini tidak peduli jika anda faham semua butiran konspirasi yang sedang berlaku. Skripnya seperti puzzle yang hilang sekeping, tapi anda tetap seronok menyusunnya. Ia pelik, berbeza, dan sedikit cute. Ya, cute – walaupun ia dibaluti letupan, penderitaan Latin Amerika, dan pembunuh upahan.
The Accountant 2 tidak sehebat filem pertama dari segi struktur, tetapi ia lebih berani bermain dengan absurditi. Ia filem aksi yang malu-malu nak jadi aksi penuh, dan itu menjadikannya sesuatu yang menarik – atau menjengkelkan, bergantung pada siapa anda. Ia seperti Blood Brothers versi antarabangsa, dengan pertalian darah sebenar, bukan sekadar slogan.
Jika anda mahu menyaksikan Ben Affleck dan Jon Bernthal mempamerkan satu bentuk kasih sayang lelaki yang bebas dari klise bromance atau propaganda pelangi, ini sajalah filem 2025 yang mampu menawarkannya. Dan untuk tiga minit tertentu, Bernthal menyerahkan dirinya pada kamera dengan keberanian fizikal dan rohani – babak yang membuat kita kagum, jika bukan terharu.
Adakah ini filem yang akan dikenang? Tidak. Tapi ia filem yang menyerlah dengan cara tersendiri, dalam dunia yang sudah hilang minat terhadap kerani dan angka. Ia mencipta ruang buat karakter seperti Wolff – lelaki yang tak tahu menipu, tapi tahu bila untuk membunuh – dan dalam zaman penuh penipuan, itu lebih bernilai daripada seribu superhero.

Penonton arus perdana mungkin tak faham misinya, tapi siapa peduli? Kadang-kadang, cukup sekadar kita dihiburkan oleh dua lelaki dengan sejarah trauma, pistol, dan selimut yang dikongsi.
Penilaian: 7/10