KUALA LUMPUR – Sekiranya sebelum ini Sepultura dan Legasi Cavalera Brothers merupakan ekspot utama bagi “industri muzik berat Brazil”, kini anda perlu memberi perhatian ke arah perjuangan Krisiun yang juga mula menakluki hati serata Metalhead.
Peminat muzik ekstrem tanah air bakal disajikan dengan sebuah persembahan bersejarah apabila kumpulan death metal tersohor dari Brazil, Krisiun, dijadual mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 17 Ogos 2025 ini di Bentley Music Auditorium, Petaling Jaya.

Konsert yang dianjurkan oleh Livewire Event ini menandakan kemunculan pertama Krisiun di pentas Malaysia, selepas lebih tiga dekad membina nama sebagai antara tonggak utama muzik death metal dunia. Dianggotai oleh tiga beradik – Alex, Moyses dan Max Kolesne – Krisiun dikenali dengan persembahan yang menampilkan ketepatan teknikal luar biasa, intensiti tanpa kompromi dan tenaga yang tidak pernah surut.
Menambah kehangatan acara ini, dua band tempatan berpengaruh turut diumumkan sebagai artis pembuka tirai – Tools of the Trade, unit grindcore yang sudah sinonim dengan pentas bertenaga tinggi, serta Dying Fate, kumpulan metal yang dikenali dengan muzik keras dan agresif yang menggugah jiwa.

Tiket untuk konsert ini boleh dibeli menerusi laman rasmi www.myticketempire.com/krisiunliveinkualalumpur. Tiket pra-jualan adalah terhad dan ditawarkan secara ‘siapa cepat, dia dapat’, justeru para peminat disarankan untuk membuat pembelian awal bagi mengelakkan kekecewaan.
Lebih daripada sekadar konsert, acara ini merupakan manifestasi semangat dan dedikasi terhadap muzik berat, membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah kepada penganjuran acara bertaraf antarabangsa dalam arena muzik ekstrem.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti akaun rasmi penganjur di media sosial @livewireevent.
Ayuh hadir dan jadi sebahagian daripada sejarah – satu malam yang bakal menggegarkan Kuala Lumpur dan meninggalkan impak dalam landskap muzik keras negara.