site stats Konsert Empat Live in Kuala Lumpur 2025 Gabungkan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel – Posopolis

Konsert Empat Live in Kuala Lumpur 2025 Gabungkan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel

Konsert Empat Live in Kuala Lumpur 2025 bakal menemui peminat pada 18 Oktober 2025 (Sabtu), jam 8:30 malam, bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Konsert ini menghimpunkan empat nama besar dalam industri muzik tanah air — Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel — dalam satu persembahan eksklusif yang dijangka menjadi antara acara kemuncak muzik tempatan tahun ini.

Penganjuran konsert ini bukan sekadar gabungan nama, tetapi suatu usaha mengangkat perjalanan panjang balada dan pop kontemporari Malaysia. Dari era kegemilangan Ziana Zain yang mencorakkan identiti diva negara, ke keunikan vokal Anuar Zain yang melakar fenomena, hinggalah kepada dimensi baharu yang dibawa oleh Ernie Zakri dan Syamel melalui gaya moden dan genre fusion — semuanya diadun dalam satu persembahan yang menuntut ketelitian artistik.

Menurut pengarah muzik konsert, Sze Wan, “Menyatukan empat vokal besar ini ibarat mencantumkan kepingan puzzle yang berbeza warna dan bentuk. Ia menuntut keseimbangan daripada segi susunan vokal, permainan instrumen serta pendekatan individu terhadap setiap penyanyi. Cabaran inilah yang menjadikan projek ini istimewa dan bermakna.”

Bagi memastikan keseluruhan pementasan berjalan lancar, Jennifer Thompson dipertanggungjawabkan sebagai pengarah konsert anjuran Anuar Zain Network itu.

Tiket untuk konsert ini mula dijual pada 25 April 2025, bermula jam 10.00 pagi menerusi platform rasmi www.ticket2u.com.my/empatkl.

Senarai harga tiket adalah seperti berikut:

  • Royal Twin Seat – RM2,088
  • VIP – RM1,088
  • Diamond – RM888
  • Platinum – RM688
  • Gold – RM488
  • Silver – RM388
  • Bronze – RM288

Semua harga tidak termasuk caj pemprosesan tiket. Untuk pembelian khas bagi golongan OKU, sila hubungi talian +6011-1190 0518.

About admin