site stats Asian Youth Festival 2026 Dilancarkan Sokong Tahun Melawat Malaysia 2026 – Posopolis

Asian Youth Festival 2026 Dilancarkan Sokong Tahun Melawat Malaysia 2026

Kuala Lumpur, Rabu, 28 Januari 2026  – Explorers World Ventures Sdn Bhd hari ini mengumumkan pelancaran Asian Youth Festival 2026 (AYF 2026) dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur. Inisiatif usaha sama strategik ini dirangka bagi mencetuskan era baru keterhubungan serantau, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai pusat tumpuan budaya belia Asia, kreativiti dan pelancongan gaya hidup.

Bagi merealisasikan penganjuran AYF 2026, Explorers World Ventures bekerjasama dengan Memories Entertainment Sdn Bhd, sebuah syarikat kreatif dan pengalaman acara tempatan yang telah lama dikenali menerusi penganjuran platform berskala besar di peringkat nasional dan antarabangsa. Antara portfolio penting Memories Entertainment termasuk Sukan SEA 2017, persidangan global, festival kebudayaan serta platform diplomatik utama seperti Sidang Kemuncak ASEAN 2025. Kerjasama ini menggabungkan kekuatan rangkaian pelancongan serantau Explorers World Ventures dengan kepakaran Memories Entertainment dalam mengendalikan acara berimpak tinggi dan kompleks.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Yang Berhormat Chiew Choon Man. Turut hadir ialah Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026, Tuan Mohd Akbal Setia, wakil-wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia, para duta dan pesuruhjaya tinggi, wakil diplomatik, selebriti, rakan strategik, kolaborator dan wakil media.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Chiew Choon Man menyatakan sokongan terhadap inisiatif sektor swasta yang berganding bahu menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui penganjuran sebuah festival yang kreatif, inklusif dan digerakkan oleh belia. Menurut beliau, Asian Youth Festival dengan program penglibatan belia yang menyeluruh dan dinamik berupaya menyumbang secara positif kepada pertumbuhan sektor pelancongan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi budaya yang bertenaga untuk pengembara muda dari seluruh Asia.

Festival yang mendapat sokongan rasmi kementerian bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 ini dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 Julai 2026 di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC).

Pengasas Bersama Festival, Chris Avinash, menyifatkan AYF 2026 sebagai sebuah platform yang menghimpunkan kreativiti, inovasi dan budaya, sekaligus mencabar tanggapan klise bahawa belia sekadar pemimpin masa hadapan. Menurut beliau, belia hari ini merupakan penggerak utama budaya digital, ekonomi kreatif dan keterhubungan serantau, dan festival ini menyediakan pentas untuk menzahirkan sumbangan tersebut. Sepanjang tiga hari penganjuran, Malaysia akan menjadi titik pertemuan belia Asia bukan sekadar sebagai penonton, tetapi sebagai peserta, pencipta dan kolaborator merentas bidang.

Berteras falsafah Celebrate the Youth, AYF 2026 mengiktiraf belia bukan sebagai janji masa depan, tetapi sebagai kuasa semasa yang telah membentuk budaya, teknologi dan komuniti Asia. Festival ini dibina berasaskan lima teras utama, iaitu ekspresi melalui kreativiti, persaingan melalui tenaga kolektif, keterhubungan merentas budaya, penerokaan peluang baharu, serta akses yang memastikan setiap suara dilihat dan didengari.

Menurut Pengasas Bersama Festival merangkap Pencetus Rainforest Youth Summit, Marina Abdullah, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Memories Entertainment sebagai jenama buatan Malaysia yang telah lebih 40 tahun memperjuangkan penceritaan negara di pentas dunia. Penganjuran AYF 2026, jelas beliau, melangkaui pembangunan belia semata-mata dan turut bertujuan memperkukuh imej Malaysia sebagai tuan rumah yang meraikan kepelbagaian dengan penuh maruah dan kehangatan.

Konsep Pop-In Malaysia diketengahkan sebagai jemputan terbuka kepada pengunjung untuk mengalami keterujaan sukan, irama muzik, kepelbagaian budaya dan kecintaan bersama terhadap makanan. Melalui AYF 2026, sebuah naratif bersama dibina agar perbezaan diraikan dan belia Asia menemui minat, persahabatan serta rumah kedua mereka di Malaysia.

Sepanjang penganjuran, MIECC akan diubah menjadi ekosistem hidup yang menghimpunkan kreativiti, budaya dan kolaborasi. Festival tiga hari ini dijangka menarik ribuan peserta dengan pengalaman imersif yang merentas usia, berpaksikan gaya hidup moden Asia.

Merangkumi keluasan satu juta kaki persegi, AYF 2026 akan menampilkan tujuh zon utama, iaitu konsert muzik, arena e-sukan dengan kejohanan Mobile Legends, zon ACG dan TCG untuk peminat anime, komik dan cosplay, Fashion Street yang mengetengahkan jenama streetwear dan pereka muda, Asian Food Village dengan sepuluh lorong bertema, ruang perbincangan belia yang memfokuskan kepimpinan dan inovasi masa depan, serta kejohanan pickleball yang mempromosikan gaya hidup aktif.

Dengan sokongan kementerian dan rakan strategik berkaitan, usahasama ini sejajar dengan agenda nasional untuk menyegarkan semula daya tarikan pelancongan negara melalui gabungan hospitaliti tradisional dan budaya belia moden. AYF 2026 menghubungkan kehangatan sambutan Malaysia dengan keterujaan festival, mengajak jiran serantau untuk Pop-In ke Malaysia dan menyelami denyut nadi gaya hidup belia Asia, selari dengan semangat Malaysia Truly Asia.

Maklumat lanjut mengenai program festival dan senarai peserta akan diumumkan kelak.

About admin