Adakah The Grabber yang dikatakan mati dalam The Black Phone pertama sebenarnya masih hidup? Sekuel terbaru arahan Scott Derrickson ini membangkitkan semula misteri dan kengerian yang lebih mendalam, membawa penonton ke dunia di mana kejahatan tidak pernah benar-benar lenyap.
Empat tahun selepas kejadian ngeri itu, Fin kini berusia 17 tahun dan masih dihantui trauma masa lalu selepas berjaya membunuh penculiknya, The Grabber. Namun, kejahatan sejati tidak mengenal kematian, telefon hitam itu berdering semula, kali ini untuk adik perempuannya, Gwen. Dalam mimpi, Gwen mula menerima panggilan dan penglihatan mengerikan tentang tiga kanak-kanak lelaki yang diburu di sebuah kem musim sejuk bernama Alpine Lake.

Kisah berlanjutan apabila Gwen dan Fin cuba menyiasat misteri tersebut, membawa mereka kepada rahsia mengejutkan yang mengaitkan keluarga mereka dengan The Grabber. Bersama, mereka mesti berdepan ancaman yang kini lebih kuat dalam kematian dan lebih dekat daripada yang disangka.
The Black Phone 2 menandakan kepulangan Ethan Hawke ke watak paling menyeramkan dalam kariernya sebagai The Grabber, bersama Mason Thames, Madeleine McGraw, Miguel Mora dan Jeremy Davies yang mengulangi peranan asal mereka. Filem ini turut memperkenalkan dua pelakon baru, Demián Bichir dan Arianna Rivas.

Diarahkan oleh Scott Derrickson dan ditulis bersama C. Robert Cargill berdasarkan karakter ciptaan Joe Hill, filem ini diterbitkan oleh Jason Blum, Derrickson dan Cargill dengan Joe Hill, Adam Hendricks dan Ryan Turek selaku penerbit eksekutif.
Bakal menghantui pawagam seluruh Malaysia pada 16 Oktober 2025, edaran United International Pictures Malaysia.