site stats FILEM: The Running Man – Pertaruhan Nyawa Demi Hiburan – Posopolis

FILEM: The Running Man – Pertaruhan Nyawa Demi Hiburan

Paramount Pictures mempersembahkan filem aksi futuristik arahan Edgar Wright berjudul The Running Man, adaptasi daripada novel karya Stephen King. Filem terbitan Kinberg Genre dan Complete Fiction ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Glen Powell, William H. Macy, Lee Pace, Michael Cera, Emilia Jones, Daniel Ezra, Jayme Lawson, Sean Hayes, Katy O’Brian, Colman Domingo dan Josh Brolin.

Berlatar dalam masa depan yang kelam, The Running Man menggambarkan sebuah rancangan televisyen paling popular di dunia, pertandingan maut di mana peserta digelar Runners mesti bertahan selama 30 hari sambil diburu oleh pembunuh upahan profesional. Setiap detik disiarkan secara langsung kepada masyarakat yang ketagih hiburan ganas.

Ben Richards (lakonan Glen Powell), seorang lelaki kelas pekerja yang terdesak untuk menyelamatkan anak perempuannya yang sakit, bersetuju menyertai rancangan itu atas pujukan penerbitnya yang licik, Dan Killian (Josh Brolin). Namun, ketabahan dan keazaman Ben menjadikannya wira tidak diduga, sekaligus menggugat sistem hiburan yang penuh manipulasi. Ketika popularitinya melonjak, bahaya turut meningkat, dan Ben perlu mengalahkan bukan sahaja para pemburu tetapi juga sebuah negara yang menanti kejatuhannya.

Menariknya, novel asal The Running Man pernah diadaptasi ke layar perak pada tahun 1987, lima tahun selepas novel itu diterbitkan. Adaptasi pertama itu hanya mengekalkan idea umum tentang rancangan ganas serta beberapa nama watak, dan menampilkan Arnold Schwarzenegger sebagai Ben Richards. Filem versi 1987 kemudiannya turut dijadikan permainan video yang dikeluarkan untuk beberapa platform komputer rumah.

The Running Man arahan Edgar Wright dengan lakon layar oleh Michael Bacall dan Edgar Wright bakal membawa penonton ke dunia penuh debaran antara hiburan, kuasa dan kemanusiaan.

Di pawagam seluruh Malaysia pada 13 November 2025, edaran United International Pictures.

About admin