SINGAPURA, 3 Jun 2025 – HL Bank Singapore (HLBS), cawangan perbankan serantau Hong Leong Bank (HLB), telah menganjurkan forum berprofil tinggi bertemakan “ASEAN’s Next Engine of Economic Growth” bagi membincangkan potensi besar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta tawaran penyelesaian kewangan rentas sempadan bagi syarikat yang beroperasi dalam zon tersebut.
Forum ini menghimpunkan tokoh industri dan institusi utama termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), firma guaman Christopher & Lee Ong, serta pakar daripada ibu pejabat HLB di Malaysia dan HL Bank Singapura.
JS-SEZ yang meliputi lebih 3,500 kilometer persegi – lebih empat kali ganda keluasan Singapura – dijangka menjadi pemangkin utama pelaburan, penciptaan pekerjaan dan pengukuhan dagangan dua hala Malaysia-Singapura. Zon ini bakal menampilkan sembilan kawasan utama berasaskan pelbagai sektor, termasuk pembuatan berteknologi tinggi dan ekonomi digital.

HLB, dengan jaringan kukuh di Malaysia dan Singapura, memperkukuh kedudukannya sebagai rakan kewangan strategik kepada syarikat korporat dan PKS yang ingin memanfaatkan peluang ekonomi di JS-SEZ. Perkhidmatan merangkumi pembiayaan khusus, pengurusan tunai, penyelesaian pasaran global serta sokongan sektor seperti logistik, ekonomi hijau dan tenaga kerja berpengetahuan.
Ketua Pegawai Eksekutif HL Bank Singapore, Ng Wee Lee berkata, “Komitmen kami terhadap perniagaan di Singapura bukan sekadar transaksi, tetapi meliputi kesejahteraan jangka panjang. JS-SEZ merupakan langkah penting dalam integrasi ekonomi serantau dan kami bersedia menjadi tulang belakang kewangan kepada pelanggan kami dalam merealisasikan potensi ini.”
Forum ini turut menampilkan pembentangan oleh ahli ekonomi kanan BNM, wakil MIDA Singapura, IRDA, serta pemimpin pasukan perbankan korporat dan perdagangan asing HLBS. Antara insentif menarik yang diketengahkan ialah kadar cukai korporat khas dan insentif untuk pekerja berpengetahuan yang dijangka menggalakkan pelaburan langsung asing ke rantau ini.
Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan & Korporat HLB, Yow Kuan Tuck menambah, “JS-SEZ bukan sahaja tentang peluang hari ini, tetapi berpotensi membentuk masa depan ekonomi ASEAN. Penyelesaian kewangan rentas sempadan kami disesuaikan untuk memperkasa pelanggan menjadi peneraju dalam inisiatif strategik ini.”
Forum ini menegaskan peranan penting perbankan serantau dalam menjayakan usaha integrasi ekonomi melalui inovasi, daya tahan rantaian bekalan dan penyelarasan polisi rentas sempadan demi pertumbuhan serantau yang mampan.