site stats Kuala Lumpur Mengangkat Martabat Sinema Asia melalui Asia-Pacific Film Festival Ke-62 – Posopolis

Kuala Lumpur Mengangkat Martabat Sinema Asia melalui Asia-Pacific Film Festival Ke-62

KUALA LUMPUR, 6 Disember 2025 — Festival Filem Asia Pasifik ke-62 (APFF62) telah melabuhkan tirainya di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan suasana gemilang, menyaksikan kehadiran penggiat filem, delegasi antarabangsa, serta barisan selebriti dari seluruh rantau. Festival anjuran Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA) ini dianjurkan bersama FINAS, Tourism Malaysia dan Lomo Pictures sebagai rakan strategik.

Seperti tradisinya, acara bermula dengan majlis karpet merah seawal 5.45 petang menghimpunkan calon anugerah, penaja, delegasi, Miss Cosmo, artis tempatan serta tetamu kehormat. Setelah jamuan ringkas, para tetamu bergerak memasuki dewan pada jam 7.15 malam sebelum acara rasmi bermula.

Ketibaan barisan VIP disusuli penyambutan khas buat ikon perfileman Hong Kong, Simon Yam, yang diraikan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan, diikuti satu minit bertafakur sebagai penghormatan kepada mangsa kebakaran di Hong Kong dan tragedi banjir di Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Sri Lanka. Sebagai simbol solidariti serantau, Prof. Dato’ Sri (Dr) Tan Fong Fook menyerahkan cek sumbangan kepada Simon Yam bagi pihak bantuan kebakaran tersebut.

Ucapan pembukaan oleh Pengerusi Penganjur, Aron Koh, serta ucapan Setiausaha Agung FPA, Pansha, membuka jalan kepada persembahan tari pembukaan dan seterusnya penyampaian anugerah teknikal dan kategori awal. Malam turut diserikan dengan penampilan barisan penyampai anugerah terkemuka, termasuk Peter Pau, Clifton Ko, Ananda Everingham, Azira Shafinaz dan ramai lagi. Persembahan koir Elemente serta persembahan violin mengiringi beberapa segmen utama acara.

Selain Simon Yam, dua bintang muda — pelakon Thailand Tontawan Tantivejakul dan pelakon Malaysia Syafiq Kyle — menerima FPA Asia-Pacific Rising Icon Award, mencerminkan perhatian serantau terhadap bakat generasi baharu. Sementara itu, Lin Min Chen dinobatkan sebagai penerima FPA Most Promising Icon Award, manakala filem Kungfu Juniors menerima FPA Cultural Impact Award.

Senarai Penerima Anugerah APFF62

Sebanyak 12 filem dari Iran, Indonesia, Singapura, Jepun, China, Nepal, Bangladesh, India, Thailand dan Korea bersaing untuk pengiktirafan tertinggi tahun ini. Pemenang bagi kategori pertandingan adalah seperti berikut:

  • Filem Pendek Terbaik: Come Find Me
  • Anugerah Media Baharu Terbaik: Wo Long Feng Chu
  • Skor Muzik Asal Terbaik: Shambhala
  • Suntingan Terbaik: LUZ
  • Skrip Asal Terbaik: Shadowbox
  • Sinematografi Terbaik: Happyend
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Rokeya Prachy — Saba
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Xiao Dong Guo — LUZ
  • Pelakon Wanita Terbaik: Tillotama Shome — Shadowbox
  • Pelakon Lelaki Terbaik: Yukito Hidaka — Happyend
  • Pengarah Terbaik: Neo Sora — Happyend
  • Filem Terbaik: Crawling Crows: AANKHA

Acara mencapai kemuncaknya dengan persembahan khas oleh Layla dan Evianna sebelum penyampaian Lifetime Achievement Award kepada Simon Yam yang disertai tayangan video penghargaan eksklusif.

Tentang Asia-Pacific Film Festival

Ditubuhkan pada tahun 1953, Festival Filem Asia Pasifik (APFF) terus menjadi platform penting bagi memajukan naratif sinema Asia, memperkukuh jaringan kreatif serantau serta memperkenalkan bakat baharu kepada khalayak antarabangsa.

About admin