site stats MR NUSANTARA 2025: Pertandingan Personaliti Lelaki Terbesar Serantau Dilancarkan di Kuala Lumpur – Posopolis

MR NUSANTARA 2025: Pertandingan Personaliti Lelaki Terbesar Serantau Dilancarkan di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2025 – Agensi bakat dan acara antarabangsa, Beam Artistes, telah melakar sejarah dengan penganjuran edisi sulung MR NUSANTARA – pertandingan personaliti lelaki yang menyatukan wakil dari tiga negara jiran iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam satu pentas berprestij yang meraikan warisan, gaya dan bakat serantau.

Majlis pelancaran rasmi serta upacara pemakaian selempang kepada para delegasi telah berlangsung di Centrestage, Sungei Wang Plaza pada petang Isnin, dengan kehadiran media tempatan dan antarabangsa.

Seramai 36 peserta dipilih untuk bertanding mewakili negara masing-masing – 15 orang dari Malaysia, 15 dari Singapura dan 6 dari Indonesia. Walaupun jumlah asal peserta Indonesia lebih ramai, beberapa wakil terpaksa menarik diri berikutan halangan tidak dijangka yang timbul daripada pihak tertentu di negara tersebut. Namun begitu, penganjur tetap bersyukur kerana terdapat sebahagian delegasi dari Indonesia yang berjaya hadir bagi mengharumkan nama negara mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Beam Artistes dan pengasas MR NUSANTARA, Samuel Seow, “Pertandingan ini bukan sekadar soal persaingan, sebaliknya ia adalah satu perayaan semangat serumpun yang dikongsi oleh negara-negara di Kepulauan Melayu. Walaupun berdepan cabaran sejak dari awal, MR NUSANTARA tetap diteruskan demi menjunjung semangat perpaduan Nusantara.”

Tambahnya lagi, format pertandingan terpaksa diubah selaras dengan perkembangan semasa, namun prinsip utama untuk menonjolkan bakat dan warisan serantau tetap dikekalkan.

Pertandingan ini akan berlangsung sepanjang minggu bermula 26 Mei dan bakal memuncak dengan acara kemuncak Grand Finals pada 29 Mei 2025 di Galaxy Banquet Hall, HGH Convention Centre, Sentul, Kuala Lumpur. Para tetamu juga bakal dihidangkan dengan sajian tempatan yang menyelerakan, manakala kumpulan wanita terkenal Malaysia, DOLLA, akan membuat persembahan istimewa.

Setiap negara akan menobatkan pemenang utama masing-masing iaitu MR SINGAPORE NUSANTARA 2025, MR INDONESIA NUSANTARA 2025 dan MR MALAYSIA NUSANTARA 2025. Ketiga-tiga juara ini kemudiannya akan bersaing untuk merebut gelaran MR NUSANTARA CHAMPION menerusi undian dalam talian sepenuhnya – menjadikan MR NUSANTARA pertandingan personaliti lelaki pertama di rantau ini yang memberi kuasa penuh kepada peminat untuk menentukan pemenang utama.

Pemenang utama bakal membawa pulang hadiah bernilai lebih USD80,000 termasuk wang tunai dan sebuah kereta baharu.

Maklumat lanjut berkenaan tiket dan sistem pengundian boleh didapati di laman rasmi: www.thevotique.com

Penganjuran MR NUSANTARA tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan para penaja utama seperti A.M Aesthetics dan Alluora Skincare, serta rakan penaja rasmi lain termasuk HGH Convention Centre, Sungei Wang Plaza, Steg Kuala Lumpur, Appolo Art Photography, ArtFigura, Corak, Essential Werkz, Fusion Meso, Universal Music Malaysia dan banyak lagi.

Platform media rasmi yang menyokong MR NUSANTARA termasuklah Missosology, MBPFC, Hype Pageantry, dan Miss Malaysia Pageant, manakala rakan media rasmi pula terdiri daripada Magazine World dan Rentak Sejuta.

Dengan semangat Serumpun Nusantara, pertandingan ini diharapkan dapat menjadi platform tahunan yang mengangkat warisan budaya dan mempererat hubungan serantau menerusi bakat dan semangat persaudaraan.

About admin