Di tengah-tengah kesibukan Kampung Baru di Kuala Lumpur, berdiri sebuah restoran yang memperkenalkan selera Timur Tengah dengan keaslian Palestin, Palestinian Chef Kitchen. Restoran ini diterajui oleh Chef Jamal, anak kelahiran Deir al-Balah, Gaza, yang membawa bersama warisan masakan ibundanya ke tanah air kita.


Perjalanan Chef Jamal bermula dari dapur kecil di Gaza, tempat beliau mempelajari seni memasak daripada ibunya yang terkenal dengan resipi turun-temurun Palestin. Setiap ramuan yang digunakannya bukan sekadar bahan masakan, tetapi lambang kasih, harapan, dan ingatan terhadap tanah kelahiran yang jauh. Setelah berhijrah ke Malaysia pada tahun 2012, beliau bekerja keras memantapkan kemahiran dan memperhalusi setiap hidangan agar cita rasa Palestin dapat dinikmati masyarakat tempatan dengan cara yang paling autentik.



Kini, melalui Palestinian Chef Kitchen yang terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, Chef Jamal bukan sahaja membawa rasa, tetapi juga jiwa Palestin kepada para pengunjung. Setiap sudut restoran ini memancarkan kehangatan suasana Timur Tengah dari corak dinding dan lantau, lampu gantung bercorak Arab, dan aroma rempah yang lembut menyapa deria sebaik melangkah masuk.
Ketika kunjungan kami, Chef Jamal menyambut dengan senyuman dan layanan penuh mesra. Kami dihidangkan tiga jenis nasi utama — Maqlouba, Mandy dan Kabsah – masing-masing menonjolkan keunikan rasa tersendiri. Maqlouba, yang bermaksud “terbalik” dalam bahasa Arab, merupakan hidangan nasi berempah yang disusun berlapis bersama terung dan daging, sebelum diterbalikkan ke dalam pinggan hidangan. Persembahannya memukau, sementara aromanya segera membangkitkan selera.




Kabsah pula tampil dengan gabungan nasi panjang yang harum, daging kambing yang lembut dan sos rempah yang kaya rasa. Mandy mengekalkan identiti Yaman dan Palestin — nasi kuning lembut dengan ayam panggang yang dimasak perlahan hingga meresap rempah. Setiap suapan membawa keseimbangan sempurna antara aroma dan rasa, dengan tekstur daging yang empuk dan nasi yang tidak terlalu berminyak.
Selain hidangan nasi, kami turut dihidangkan seleksi grilled dishes seperti Chicken Kebab, Lamb Kebab dan Shish Tawook — semuanya diperap sempurna dan dibakar dengan teknik yang mengekalkan kelembutan isi daging sambil menghasilkan aroma bakaran yang menggoda. Hidangan pembuka seperti Hummus dan Mutabbal pula menjadi pelengkap sempurna; tekstur lembut, rasa berkrim dengan sedikit masam limau dan minyak zaitun yang segar. Arabic Salad dan Fattoush memberi sentuhan seimbang, menyegarkan semula deria selepas hidangan berat.


Kemuncak pengalaman di Palestinian Chef Kitchen pastinya terletak pada pencuci mulut. Cheese Kunafa dengan tambahan Pistachio Paste dan Chocolate Topping hadir dalam dua saiz, kecil dan besar. Lapisan pastri halusnya garing di luar tetapi lembut di dalam, manakala keju cair di tengah memberikan sensasi yang kaya dan memanjakan lidah. Ia diakhiri dengan siraman sirap wangi yang menambah manis seadanya, tidak berlebihan.


Untuk minuman, restoran ini menawarkan pelbagai pilihan daripada jus segar seperti tembikai, mangga dan lemon pudina, hinggalah ke minuman panas seperti Arabic Tea dan Palestinian Milk Tea yang menghangatkan.
Bagi pelanggan yang datang pada waktu tengah hari, restoran ini turut menyediakan set makan tengah hari yang sangat berbaloi. Set lunch di Palestinian Chef Kitchen disertakan dengan air mineral atau pilihan minuman percuma seperti Teh O Ais atau Sirap Ais. Antara pilihan set yang ditawarkan termasuk Chicken Shawarma Rice (RM13), Beef Shawarma Rice (RM16), Chicken Grill Rice (RM13), Lamb Grill Rice (RM28), Lamb Hanneth Rice (RM28), Chicken Maqlubah Rice (RM18), dan Lamb Maqlubah Rice (RM30). Setiap hidangan boleh dipilih bersama nasi Mandy atau Kabsa, menjadikannya pilihan ideal untuk hidangan cepat tanpa mengorbankan rasa asli Palestin.

Yang paling menarik, harga di Palestinian Chef Kitchen sangat berpatutan berbanding kualiti dan keaslian rasa yang ditawarkan. Ia menjadikan restoran ini tempat ideal untuk keluarga, sahabat atau sesiapa sahaja yang ingin merasai pengalaman Palestin tanpa perlu meninggalkan Kuala Lumpur.
Lebih daripada sekadar restoran, Palestinian Chef Kitchen adalah kisah tentang perjuangan dan cinta terhadap budaya yang diwarisi. Dalam setiap suapan nasi dan setiap hirupan teh, terselit kisah seorang lelaki Gaza yang tekad membawa sebahagian tanah airnya ke sini — melalui aroma, rasa dan keikhlasan dalam masakan.

Maklumat Restoran: Palestinian Chef Kitchen
Alamat: 95, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur
Telefon: +60 14-987 8054
Facebook: Palestinian Chef Kitchen
Instagram: @palestinian_chef_kitchen