Kumpulan ska punk tersohor dari Indonesia, Tipe-X, bakal menggegarkan Jiospace, Petaling Jaya pada 2 Ogos 2025 menerusi konsert eksklusif bertajuk “SKALUT PARTY”, sebuah persembahan yang menjanjikan malam penuh bertenaga, sarat dengan elemen ska, punk dan nostalgia era kegemilangan muzik alternatif rantau ini.

Konsert ini dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, sebuah syarikat produksi tempatan yang dikenali dengan penganjuran acara muzik serantau bertaraf tinggi. “SKALUT PARTY” bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu penghormatan terhadap legasi Tipe-X yang telah bertapak selama lebih tiga dekad dalam industri muzik Asia Tenggara.
“Kami membawakan ‘SKALUT PARTY’ khusus buat peminat Tipe-X yang telah lama menantikan kehadiran semula mereka ke Malaysia. Ini merupakan satu pesta muzik yang meraikan semangat ska penuh warna, penuh tenaga dan penuh kenangan,” ujar Talib Othman, Pengarah Rockstage Entertainment.
Ditubuhkan pada awal 1990-an, Tipe-X telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan dan mempopularkan genre ska punk di Indonesia dan negara-negara jiran termasuk Malaysia. Sejak kemunculan mereka dalam arus perdana menerusi album sulung Ska Phobia (1999), kumpulan ini telah menghasilkan sejumlah karya penting seperti Mereka Tak Pernah Mengerti (2001), Super Surprise (2003), dan Seven (2012), dengan hits popular seperti Genit, Salah, Mawar Hitam, Boyband, Pacar yang Baik dan Selamat Jalan.
Barisan ahli semasa Tipe-X terdiri daripada Tresno Riadi – Vokal, Anto – Bass, Billy – Gitar, Arie Hardjo – Dram, Micky – Trombone, Yoss – Saksofon dan Andi – Trompet. Keunikan muzik Tipe-X yang menggabungkan elemen ska, punk dan reggae telah mencipta identiti kukuh serta jaringan peminat yang melangkaui sempadan geografi.
Jiospace PJ dipilih sebagai lokasi konsert atas faktor kapasiti yang sesuai, infrastruktur moden, serta kedudukannya yang strategik di tengah-tengah nadi hiburan ibu kota. Konsert ini dijangka menampilkan elemen produksi yang canggih dari segi pencahayaan dan sistem bunyi, bagi menjamin kualiti persembahan yang dinamik serta pengalaman penonton yang lebih mendalam.
Poster rasmi konsert menonjolkan estetika visual klasik ska berlatarkan rona jingga terang dengan simbol muzik serta dua trompet hitam adalah simbolik kepada tenaga dan gaya unik yang akan dibawakan oleh Tipe-X pada malam berkenaan.
“Kami ingin mencipta suasana yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mengembalikan semangat zaman kegemilangan muzik ska. Persembahan ini juga akan menyaksikan susunan muzik yang lebih besar, dengan sentuhan eksperimentasi bagi memperbaharui pengalaman penonton,” tambah Talib.

Tiket boleh dibeli secara rasmi melalui laman sesawang http://www.myticketempire.com, dengan kategori harga seperti berikut: Harga Presale (Jualan Awal): Cat 1 (Standing – berhampiran pentas): RM188 dan Cat 2 (Standing – sisi & belakang FOH): RM170. Harga Regular (Harga Pintu): Cat 1: RM208 dan Cat 2: RM190
Konsert “SKALUT PARTY” merupakan peluang eksklusif buat peminat setia mahupun generasi baharu untuk merasai sendiri kehebatan persembahan langsung Tipe-X – kumpulan yang telah membentuk lanskap muzik ska punk di rantau ini sejak akhir 1990-an.
Untuk maklumat lanjut serta perkembangan terkini konsert, peminat digalakkan mengikuti saluran media sosial rasmi Tipe-X dan Rockstage Entertainment.